Konservasi Gunung Yong Yap 2015 (AdAM Project)

AdAM Project merupakan singkatan kepada Adopt A Mountain Project. Program yang membawa konsep konservasi alam ini dimulakan oleh sebuah syarikat yang mengendalikan aktiviti pendakian gunung iaitu Wild Junction pada penghujung tahun 2010 di Gunung Yong Belar. Fokus utama pada waktu tersebut ialah untuk memulihkan Kem Kasut yang tercemar dengan longgokan sampah tinggalan pendaki yang tidak bertanggung-jawab.

Setelah hampir 5 tahun, projek yang telah dijalankan di beberapa kawasan rentis gunung ini juga telah mencapai satu tempoh matang apabila berjaya membuka mata pengunjung alam semulajadi lain. Inisiatif-inisiatif pemuliharaan alam dapat dilihat melalui beberapa projek konservasi yang dilakukan sendiri oleh pendaki gunung.

Melihat pada penerimaan positif ini, Persatuan Malim Gunung Malaysia telah terpanggil untuk meneruskan usaha murni ini dengan menjayakan sebuah lagi projek ini di Gunung Yong Yap melalui rentis Sungai Rengil, Kelantan. Program ini dijalankan selama 3 hari 2 malam dengan kekuatan sukarelawan pendaki seluruh Semenanjung Malaysia seramai 58 orang yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan pengalaman.

Berikut merupakan usaha pemuliharaan yang telah dijalankan sepanjang tempoh singkat ini:-

1) Menebas laluan rentis yang dilitupi tumbuhan renek.
2) Menebang buluh-buluh tumbang yang menghalang laluan.
3) Memotong pokok-pokok tumbang yang menghalang laluan.
4) Mengurangkan impak kawasan berlumpur.
5) Menggantikan penanda rentis (Marking Tape).
6) Memasang papan tanda rentis Sungai Rengil yang memantul cahaya.
7) Memasang papan tanda tapak perkhemahan dan juga puncak gunung.
8) Memasang tali keselamatan sebagai bantuan di punca air terakhir.
9) Memasang paip PVC di punca air terakhir bagi memudahkan pendaki .
10) Membawa keluar sampah tinggalan pendaki.

Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh pihak kami dengan tempoh masa yang singkat dan juga penerimaan dana sokongan yang sangat terhad hasil derma ikhlas daripada kalangan pendaki dan juga kenalan. Pihak kami berharap agar aktiviti seperti ini mendapat perhatian daripada pihak berwajib agar kawasan persekitaran hutan kita yang kaya dengan khazanah alam semulajadi ini dapat dikekalkan keasliannya melalui proses baik-pulih dan juga sistem pengurusan yang lebih efisyen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *